Ekzema
Sunday November 11th 2007, 12:31 am
Filed under: Uncategorized

KERADANGAN kulit akibat alahan atau ekzema biasanya dikaitkan dengan
makanan, walaupun hakikatnya banyak punca lain boleh menjadi
penyebabnya seperti faktor alam sekitar, termasuk cahaya matahari.

Ekzema diambil daripada perkataan Yunani bermakna mendidih dan ia
dianggap tepat bagi menerangkan keadaan sebenar apabila ekzema
‘menyerang’ dan menjadi aktif.

  Walaupun jarang dilaporkan, tetapi dianggarkan satu peratus penduduk Malaysia (lebih 230,000 orang) mengalami masalah ini.

Ekzema juga dianggap masalah biasa di kalangan kanak-kanak dan berlaku
pada 14 peratus kanak-kanak di negara ini. Namun sejak kebelakangan
ini, permintaan terhadap rawatan kulit semakin meningkat dan jumlah kes
yang dirawat di negara ini juga bertambah 20 peratus.

Kajian dijalankan Universiti Sains Malaysia (USM) mendapati, kes
ekzema di kalangan kanak-kanak berumur lima hingga tujuh tahun jauh
lebih tinggi berbanding kanak-kanak lebih dewasa (12 hingga 14 tahun).

Masalah keradangan kulit ini dikatakan ada kaitan dengan genetik
dan membabitkan sel T, iaitu sel yang bertanggungjawab dalam sistem
imun kita. Dalam keadaan biasa, sel T bertindak balas dan cuba
menghapuskan bahan penyebab alahan (dipanggil alergen). Bagaimanapun,
pada individu alah, sel T bertindak secara berlebihan sehingga
menyebabkan kulit mengalami keradangan, gatal dan pedih.

Di
United Kingdom, ekzema boleh menyebabkan gangguan emosi pada
kanak-kanak. Dalam satu soal selidik mendapati, kanak-kanak ekzema di
sana kerap mengalami masalah sosial kerana mereka dipulaukan, diejek,
malah dibuli rakan sebaya hanya kerana kulit mereka nampak berbeza
daripada orang lain. Keadaan ini menyebabkan ramai pesakit ekzema
berasa rendah diri, malu dan tidak yakin dengan diri sendiri apabila
meningkat dewasa.

Masalah ini berlaku kerana ekzema menyebabkan
kulit menjadi kering, berasa panas dan gatal (bagi kes sederhana) dan
kulit boleh merekah dan berdarah, kata Presiden Kesatuan Pengamal
Kesihatan Swasta Malaysia (FPMPAM), Dr Steven Chow.

Katanya,
gejala fizikal ini boleh memberi kesan besar daripada segi emosi dan
psikologi kepada pesakit, terutama kanak-kanak. Pandangan negatif dan
ejekan kawan memberi pengaruh negatif serta boleh menjejaskan kualiti
hidup pesakit kanak-kanak.

Ekzema juga menghalang pesakit
kanak-kanak daripada terbabit dalam kegiatan sosial dan sukan apabila
mereka dipulaukan rakan sebaya. Malah, gangguan pada kulit, terutama
rasa gatal, menyebabkan pesakit kurang selesa dan malu apabila ada di
kelompok ramai.

“Masalah ekzema lebih kerap berlaku pada
kanak-kanak. Lebih membimbangkan, jumlah pesakit kecil yang mengalami
ekzema semakin ramai. Antara faktor menyebabkan perkara ini ialah
perubahan persekitaran (cuaca) seperti peningkatan suhu dan kelembapan.

“Selain itu, pencemaran alam sekitar, termasuk penggunaan bahan kimia,
bahan pencuci, logam dan kosmetik, boleh mendatangkan tindak balas
alahan kulit pada pesakit ekzema,” katanya.

Walaupun sehingga
kini tiada ubat khusus boleh menyembuhkan ekzema, ia boleh dirawat dan
dikawal. Rawatan ekzema kini memberi penekanan terhadap pengurusan
jangka panjang. Namun, paling penting ialah memastikan kulit sentiasa
lembap dan lembut sepanjang masa kerana kulit kering mudah mengalami
keradangan dan gatal.

Pakar Dermatologi Fakulti Perubatan
Universiti Harvard, Dr Lynn Drake, berkata untuk mengekalkan kelembapan
kulit pesakit dinasihat menggunakan pencuci yang bebas sabun dan
mengamalkan rutin penjagaan kulit dengan serius.

“Penggunaan
bahan pencuci yang tidak sesuai boleh ‘mengikis’ lapisan pelindung
semula jadi pada kulit, terutama bagi individu yang sensitif. Jika ini
berlaku, pesakit berisiko mengalami pengulangan keradangan.

“Kebanyakan kes ekzema yang berlaku di Amerika Syarikat disebabkan
penggunaan bahan pencuci yang terlalu kuat atau sabun dan kosmetik
mengandungi agen menghakis lapisan lemak pada sel kulit. Ibu bapa yang
ada sejarah ekzema perlu lebih berhati-hati apabila menggunakan bahan
ini kepada anak. Ini kerana bayi mempunyai kulit lima kali lebih nipis
berbanding orang dewasa dan kesannya lebih teruk jika mengalami
ekzema,” katanya.

Ini sebabnya pakar menyarankan penggunaan
bahan pelembut kulit kerana ia bukan saja penting untuk mengelak
keradangan berulang, tetapi ia mampu memperbaiki lapisan perlindungan
di atas kulit. Kaedah mudah dan murah ini juga berkesan dalam membantu
pesakit mengawal serangan ekzema dan mengelak kesan sampingan
penggunaan ubat mengandungi steroid jika diambil dalam jangka masa lama.

Katanya, sebarang jenis pelembut kulit boleh digunakan, sama ada krim,
losyen, gel atau minyak bayi berdasarkan kesesuaian dan keselesaan
pesakit.

Bagaimanapun, individu yang ada kulit sensitif
disaran mendapatkan nasihat doktor terlebih dulu, terutama sebelum
menggunakan pelembut mengandungi pewangi dan pengawet.

“Bahan
pelembap kulit ini perlu disapu sekerap mungkin mengikut keperluan dan
keadaan kulit setiap pesakit. Perlu diingat, kulit masih perlu
dilindungi dan dibelai walaupun tidak lagi mengalami keradangan. Jika
pesakit menggunakan bahan pelembut mengandungi steroid, tunggu antara
10 hingga 30 minit sebelum menyapu pelembap untuk mengelakkan steroid
dicairkan oleh pelembap,” katanya.

Amalan

Ada beberapa cara yang boleh diamalkan untuk mengelak keradangan kulit iaitu:

  • Hadkan sentuhan dengan bahan yang boleh menyebabkan kulit radang. Ini
    termasuk bahan pencuci, sabun, sesetengah losyen dan bahan peluntur.
  • Pakai sarung tangan untuk melindungi kulit ketika mencuci kain atau pinggan.
  • Jika anda bercuti pada musim dingin, pastikan anda memakai sarung
    tangan sepanjang masa. Cuaca dingin boleh mempercepatkan kulit menjadi
    kering.
  • Pakai pakaian yang dibuat daripada kapas.
  • Gunakan bahan pencuci atau cecair mandian yang lembut.
  • Elak mandi dengan air panas.
  • Sapu ubat selepas mandi. Ubat untuk ekzema biasanya mengandungi steroid
    dan dapatkan nasihat doktor jika ia tidak menunjukkan kesan selepas
    tiga minggu.
  • Gunakan pelembap kulit setiap hari.
  • Jangan garu bahagian kulit yang gatal. Ia menyebabkan keradangan kulit menjadi lebih teruk.
  • Belajar menangani tekanan. Tekanan boleh merangsang ekzema dan menyebabkannya bertambah buruk.
  • Teruskan penjagaan kulit walaupun tiada tanda keradangan.
  • ++++exam=tensen…patot a menjadi2 ekzema saye….saketttttttttttt….



  •